Monday 8 June 2015

Penubuhan Tadika Khalifah Bestari Desa Al-Amin



Penubuhan Tadika Khalifah Bestari merupakan salah satu usaha untuk membantu ibu bapa, khususnya yang beragama islam dan bekerja, untuk memenuhi sebahagian tanggung jawab untuk mendidik anak-anak di peringkat umur prasekolah secara berterusan dan sistematik.

Ahli-ahli psikologi pendidikan menegaskan bahawa perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek kanak-kanak di peringkat umur prasekolah ini adalah penting. Oleh itu, potensi mereka dalam aspek-aspek tersebut perlu dirangsang dan dikembangkan bagi memacu kecemerlangan pada masa akan datang.


Dengan kesedaran ini, pihak Tadika Khalifah Bestari telah menyediakan pakej pendidikan prasekolah yang berteraskan islam untuk mendidik anak-anak secara holistik dan bersepadu. Keperluan akademik diseimbangkan dan disepadukan dengan keperluan perkembangan rohani, emosi, sosial dan fizikal. Harapan kami semoga anak-anak dapat menguasai  kemahiran-kemahiran asas : mengaji, menghafaz Al-Quran, membaca (BM, BI dan Jawi) dan mengira di samping tertanam bibit-bibit aqidah yang sejahtera, ibadah yang sah, pekerti dan adab yang luhur, minda yang kreatif, sosio-emosi yang stabil, nilai-nilai estetika yang islamik serta fizikal yang kuat.


Kami juga sedar bahawa peranan ibu bapa di rumah amat penting dalam menjayakan program pendidikan ini antaranya : penyediaan persekitaran sosio-emosi yang sejahtera, pemakanan yang seimbang dan pengukuhan kepada nilai, ilmu dan kemahiran yang diterapkan di tadika ini. Oleh itu, pihak tadika menggalakkan hubungan ibu-guru yang mesra di samping teguran-teguran yang membina dalam permuafakatan kita mendidik anak-anak.


Semoga usaha yang kerdil ini diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT dan berjaya menghasilkan bakal-bakal khalifah yang soleh dan musleh

No comments:

Post a Comment