Penubuhan Tadika Khalifah Bestari merupakan salah satu usaha untuk membantu ibu bapa, khususnya yang beragama islam dan bekerja, untuk memenuhi sebahagian tanggung jawab untuk mendidik anak-anak di peringkat umur prasekolah secara berterusan dan sistematik.
Ahli-ahli psikologi pendidikan menegaskan bahawa perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek kanak-kanak di peringkat umur prasekolah ini adalah penting. Oleh itu, potensi mereka dalam aspek-aspek tersebut perlu dirangsang dan dikembangkan bagi memacu kecemerlangan pada masa akan datang.
|
Dengan kesedaran ini, pihak Tadika Khalifah Bestari telah menyediakan pakej pendidikan prasekolah yang berteraskan islam untuk mendidik anak-anak secara holistik dan bersepadu. Keperluan akademik diseimbangkan dan disepadukan dengan keperluan perkembangan rohani, emosi, sosial dan fizikal. Harapan kami semoga anak-anak dapat menguasai kemahiran-kemahiran asas : mengaji, menghafaz Al-Quran, membaca (BM, BI dan Jawi) dan mengira di samping tertanam bibit-bibit aqidah yang sejahtera, ibadah yang sah, pekerti dan adab yang luhur, minda yang kreatif, sosio-emosi yang stabil, nilai-nilai estetika yang islamik serta fizikal yang kuat.
Kami juga sedar bahawa peranan ibu bapa di rumah amat penting dalam menjayakan program pendidikan ini antaranya : penyediaan persekitaran sosio-emosi yang sejahtera, pemakanan yang seimbang dan pengukuhan kepada nilai, ilmu dan kemahiran yang diterapkan di tadika ini. Oleh itu, pihak tadika menggalakkan hubungan ibu-guru yang mesra di samping teguran-teguran yang membina dalam permuafakatan kita mendidik anak-anak.
Semoga usaha yang kerdil ini diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT dan berjaya menghasilkan bakal-bakal khalifah yang soleh dan musleh
No comments:
Post a Comment