Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Monday, 8 June 2015

Penubuhan Tadika Khalifah Bestari Desa Al-Amin



Penubuhan Tadika Khalifah Bestari merupakan salah satu usaha untuk membantu ibu bapa, khususnya yang beragama islam dan bekerja, untuk memenuhi sebahagian tanggung jawab untuk mendidik anak-anak di peringkat umur prasekolah secara berterusan dan sistematik.

Ahli-ahli psikologi pendidikan menegaskan bahawa perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek kanak-kanak di peringkat umur prasekolah ini adalah penting. Oleh itu, potensi mereka dalam aspek-aspek tersebut perlu dirangsang dan dikembangkan bagi memacu kecemerlangan pada masa akan datang.


Dengan kesedaran ini, pihak Tadika Khalifah Bestari telah menyediakan pakej pendidikan prasekolah yang berteraskan islam untuk mendidik anak-anak secara holistik dan bersepadu. Keperluan akademik diseimbangkan dan disepadukan dengan keperluan perkembangan rohani, emosi, sosial dan fizikal. Harapan kami semoga anak-anak dapat menguasai  kemahiran-kemahiran asas : mengaji, menghafaz Al-Quran, membaca (BM, BI dan Jawi) dan mengira di samping tertanam bibit-bibit aqidah yang sejahtera, ibadah yang sah, pekerti dan adab yang luhur, minda yang kreatif, sosio-emosi yang stabil, nilai-nilai estetika yang islamik serta fizikal yang kuat.


Kami juga sedar bahawa peranan ibu bapa di rumah amat penting dalam menjayakan program pendidikan ini antaranya : penyediaan persekitaran sosio-emosi yang sejahtera, pemakanan yang seimbang dan pengukuhan kepada nilai, ilmu dan kemahiran yang diterapkan di tadika ini. Oleh itu, pihak tadika menggalakkan hubungan ibu-guru yang mesra di samping teguran-teguran yang membina dalam permuafakatan kita mendidik anak-anak.


Semoga usaha yang kerdil ini diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT dan berjaya menghasilkan bakal-bakal khalifah yang soleh dan musleh

Sejarah Penubuhan Tadika Khalifah Bestari.


Ibu-ibu muda  yang kelulusan mereka bukan  dalam aliran agama ini, berusaha untuk menyediakan pendidikan anak-anak mereka dengan pendidikan Islam pra sekolah. 

Tadika Maria yang terdapat di Kajang, merupakan tadikan pilihan kebanyakan ibu bapa yang tinggal di persekitarannya dan di BBBangi ketika itu. Tadika-tadika kecil yang lain juga beroperasi lebih kepada menjana keuntungan dan pengurusannya pula, dikendalikan oleh kebanyakannya non muslim. Pada tahun 1986, dengan hanya beberapa orang anak didik, Tadika Al-Falah ditubuhkan. 

Nama Al-Falah dipilih sempena nama surau yang ditumpangi untuk memulakan penubuhan Tadika tersebut. Ia Terletak di Jalan 6 atau Seksyen Enam BBBangi, diuruskan oleh beberapa orang ibu muda secara sukarela. Beberapa orang guru dan Guru besarnya menyumbang tenaga tanpa bayaran. Semoga Allah mengganjari pengorbanan mereka dengan pahala berlipat ganda.

Selama kira-kira empat tahun, Tadika Al-Falah menumpang di bangunan surau tersebut, sehinggalah pada tahun 1989, sebuah rumah teres paling sisi dapat disewa di Jalan 6/3 Seksyen 6 BBBangi. Pendaftaran semula dengan JAIS dibuat dengan nama baru, iaitu Tadika Furqan. 

Untuk memenuhi syarat pendaftaran, Tadika ini diuruskan oleh syarikat Flora Selayang Sdn Bhd dengan lembaga pengelolanya membantu pengurusan Tadika Furqan ini secara sukarela juga. Permintaan untuk belajar di Tadika ini begitu memberangsangkan dari setahun ke setahun.  Perpindahan `orang kuat` atau tulang belakang, peneraju Tadika ini ke Desa Al-Amin, Sungai Tangkas, cawangan baru tadika ini ditubuhkan dengan nama baru Tadika As Syam pada tahun 2003.

Beroperasi di sebuah rumah banglow yang disewa dengan murid pada awalnya hanya seramai 8 orang. Lembaga Pengelola di bawah Flora Selayang Sdn Bhd, kemudian ditukar pengelolaannya di bawah Khalifah Bestari Sdn Bhd, mengelolakan kedua-dua Tadika Furqan di BBBangi dan Tadika As Syam di Sungai Tangkas Kajang. 

Pada tahun 2009 Tadika Khalifah Bestari dijenamakan dengan memansuhkan kedua nama sebelumnya, demi kemudahan pengurusan dan pentadbiran. Tadika di BBBangi juga telah ditutup, dan beroperasi kini hanya di Desa Al-Amin, Sungai Tangkas  Kajang. Semoga TKB terus maju, menerajui pengisian pendidikan Islam yang unggul di setempat, negara dan global InsyaAllah.